Ahad, 24 Februari 2013

SATU LINTASAN PEMIKIRAN



Salam untuk semua....
Dalam kehidupan, kita adalah hamba yang sangat kerdil di sisi yang Esa. Namun Allah SWT telah memilih kita sebagai hambanya yang mulia. Diberikan kita akal untuk berfikir. Dilantiknya kita sebagai khalifah di muka bumi. Diberikan segala nikmatnya untuk kita kecapi. Diberikan kita Rasul untuk membimbing kita.  Diberikan kita  Al-Quran sebagai bekalan dan panduan hidup. SubhanAllah betapa Allah SWT menyayangi kita sebagi hambanya. Sekali pun besar dosa kita selagi kita mempunyai iman, maka diampuni kita.  Kasih sayang Allah tiada taranya.

Sayang sekali, kita sering lalai dan leka. Melihat kepada anak-anak di sekolah dengan kepelbagaian tingkah laku dan kesosialan yang melampau menyebabkan hati terdetik....masyaAllah kasihannya mereka. Sangat beruntunglah ibu bapa yang dianugerahkan Allah anak yang soleh dan solehah.  Tapi anak-anak yang sedang aku hadapi ini majoritinya dilanda kebejatan soaial. Sebut sahaja apa yang tidak mereka lakukan...rasanya sebahagian besar melaluinya. Sangat takut dan bimbang melihat aktiviti sosial mereka....

Menjalankan tugas sebagai Penolong Kanan Hem, bukan satu tugas yang mudah. Menghadapi dari sekecil-kecil masalah disiplin sehinggalah sebesar-besar masalah. Adakalanya masalah tercipta akibat keruntuhan institusi keluarga pelajar. Siapa yang harus dipersalahkan? Anak-anak atau ibu bapa?  Ada juga masalah yang dicipta oleh pelajar sendiri sedangkan mereka mempunyai ibu bapa yang sangat baik. Salah siapa? Media, rakan, teknologi atau siapa?  Kehidupan zaman kini menuntun kita untuk berhati-hati dengan semua perkara. Informasi yang baik dan negatif sangat mudah diperolehi.  Petik jari semuanya boleh diakses dan dilihat serta diketahui.

Hmmm...tanggungjawab kita sebagai pendidik, laksanakanlah setakat yang kita mampu. Ikhlas dalam mendidik bukan setakat mengajar. Mendidik tidak boleh secara totalnya dilakukan di dalam kelas semata. Di peringkat sekolah mendidik lebih berkesan jika dilaksanakan secara praktikalnya. Oleh itu, aktiviti-aktiviti kurikulum di luar kelas (biasa disebut kokurikulum) harus dipergiatkan. Pembentukan sahsiah pelajar boleh dilentur, dibentuk dan di situlah satu cara untuk kita merapati pelajar, memahami diri mereka, mengetahui potensi dan bakat mereka serta menggalakkan mereka bersosial dengan cara yang sihat.

Sayangnya di sekolah, adakalanya kita teruja untuk mengejar kecemerlangan sehingga kita memberikan fokus utama kepada kepada kurikulum di dalam kelas dan mengabaikan kurikulum di luar kelas (kokurikulum). Maka hasilnya pelajar yang akan keluar akan menjadi pelajar yang tidak seimbang hidupnya. Emosi, rohani dan jasmaninya sangat kurang. Maka daya tahan dan juangnya juga sangat lemah. Apakah kita mengejar kecemerlangan atau kemenjadian pelajar?

Peranan Hem, bukan setakat menekankan kepada aspek disiplin, tetapi pembinaan insan itu sendiri.  Bagaimana mahu melentur pelajar ini menjadi 'kemenjadian pelajar'. Maka sangat pentinglah kolaborasi dengan aktiviti kokurikulum, bina insan dan kaunseling supaya pelajar sentiasa rapat dengan guru dan mampu membangkitkan perkongsiaan masalah yang boleh menjurus kepada kemenjadian pelajar itu sendiri.  Saya percaya  sekiranya para ustaz dan ustazah melalui unit bina insannya proaktif merangka strategi merapati pelajar yang bermasalah, sentiasa dan tidak meninggalkan mereka (sentiasa melihat dan memantau perlakuan pelajar ini dan pada masa yang sama sering mentarbiah mereka) maka InsyaAllah mereka boleh diselamatkan.  Sayangnya kadang-kadang kita merangka dan melaksana program membina insan, selesai program kita tidak langsung membuat 'follow up' terhadap mereka. Maka bagaimana kita mahu melihat dan mengetahui keberkesanan program kita?  Seolah-olahnya, kita tidak peduli kerana mereka bukan anak kita.  Tapi ingatlah kita bertanggung jawab terhadap mereka kerana kita guru dan itu adalah amanah untuk kita..........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan