Ahad, 8 Disember 2013

SECEBIS KISAH SEPANJANG 2013

                        Assalammualaikum wbt dan Salam 1Malaysia,
Kali terakhir menulis ialah pada Februari yang lalu. Sekarang masuk bulan Disember. Hmmm...awal tahun menulis, berhenti sebentar dan sekarang akhir tahun 2013. Bukan tidak mahu menulis tapi kesibukan dan keterbatasan masa menyebabkan ruang dan peluang semakin mengecil.
       Namun dalam tempoh tersebut banyak perkara yang berlaku. Alhamdulliah bulan Mac aku telah berjaya menamatkan pengajian Sarjana. Paling menarik mendapat 'Best Student Awarded'. Aku sendiri tak menyangka. Jadi semasa konvokesyen tempohari di UTM, bergayalah aku dengan Pingat Emas yang aku dapat.  Seterusnya, bulan Julai aku diminta untuk membentangkan kertas kerja di Seminar Pendidikan Kebangsaan di IAB. Berpeluh juga. Maklumlah pertama kali menjadi pembentang. Kertas kerja yang dibentangkan adalah hasil penulisan kajian oleh sahabat sepengajian. Bagaimana pula aku yang bentang? Aku sebenarnya penulis kedua. Disebabkan sahabat ni ada masalah jadi aku diminta untuk menggantikannya. Mulanya takut juga, tapi bagi aku inilah pengalaman yang mungkin aku takkan perolehi kali kedua. 
         Alhamdulillah bulan Ogos aku mendapat maklumbalas tentang kajianku yang aku hantar ke BPPDP KPM untuk dimuatkan dalam Jurnal Pendidikan. Kajian aku dipilih untuk diterbitkan dalam Jurnal tersebut.
Sebenarnya banyak peristiwa yang berlaku samada yang baik mahu pun tidak. Hanya pada Allah SWT sahaja aku berserah. Yang pahitnya aku cuba untuk lupakan. Mungkin itu dugaan Allah SWT dan aku percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Baru-baru ini ada sahabat mempelawa aku memohon untuk jawatan Nazir. Bagi aku apa salahnya mencuba. Ya aku menghantar borang untuk jawatan Nazir. Tapi sebelum tu perbincangan telah dibuat bersama isteri. Maklumlah jika benar-benar ditawarkan aku harus berpindah.
           Rasanya sudah tiba masanya untuk aku berhijrah. Telah terlalu lama aku berada di Perantau Damai ini. Aku perlu memperluaskan lagi pengalaman dan pandangan. Aku teringat akan satu video di laman you tube yang mengkisahkan tentang sorang syahid bernama Mohd Ammar yang telah meninggal dunia dalam usia 20 an kerana kemalangan jalan raya. Video itu memaparkan perjalanan hidup arwah yang hatinya menjurus kepada berdakwah.  Keberaniannya, ketabahannya, kecekalannya dalam melihat kebesaran Allah SWT dan membantu ummat Islam amat terkesan di hati. Apa tidaknya, usia masih muda tetapi telah berani berhijrah sampai ke Turki. Dalam satu slot video tersebut memaparkan syair Imam Syafie (jika tidak silap) yang menggambarkan orang yang tidak berhijrah ibarat air bersih yang bertakung dan lama kelamaan air itu akan menjadi kotor. Maka jadilah air bersih  yang mengalir yang boleh memberi manfaat kepada hidupan yang lain. Syair itu membuka hati arwah untuk mengembara dan berdakwah. Rasanya aku tidak mahu menjadi air bersih yang bertakung. Biarlah aku menjadi air yang mengalir yang boleh memberi manfaat pada hidupan yang lain. Itu salah satu sebab mengapa aku menerima pelawaan untuk memohon jawatan Nazir.
        Pada masa yang sama juga, jawatan untuk Pengetua bagi tahun 2014 telah dibuka. Alhamdulillah, berdasarkan syarat aku layak untuk memohon. Jika ada rezeki bulan Jun akan dipanggil. Tapi, bukanlah bermakna laluan itu senang. Jika terpilih akan dipanggil temuduga pada bulan Februari atau Mac  bagi memastikan calon pengetua benar-benar mempunyai kompetensi yang utuh. Hmmm...aku  mencuba, tidaklah terlalu berharap kerana aku yakin akan ramai calon yang lebih senior dan layak. Tapi tak mengapalah sekurang-kurangnya aku memperolehi pengalaman. Ini juga satu cabaran yang hebat. Jadi kita haruslah berani.
         Dari aspek pengurusan sekolah yang melibatkan di bawah bidang Hem...rasanya setakat ini berjalan lancar. Persediaan untuk sesi 2014 telah pun dirancang sejak Oktober lagi dan setakat ini 90 peratus berjalan lancar. Insyaa Allah semuanya akan berjalan seperti dirancang.
Semoga bertemu lagi......

Ahad, 24 Februari 2013

SATU LINTASAN PEMIKIRAN



Salam untuk semua....
Dalam kehidupan, kita adalah hamba yang sangat kerdil di sisi yang Esa. Namun Allah SWT telah memilih kita sebagai hambanya yang mulia. Diberikan kita akal untuk berfikir. Dilantiknya kita sebagai khalifah di muka bumi. Diberikan segala nikmatnya untuk kita kecapi. Diberikan kita Rasul untuk membimbing kita.  Diberikan kita  Al-Quran sebagai bekalan dan panduan hidup. SubhanAllah betapa Allah SWT menyayangi kita sebagi hambanya. Sekali pun besar dosa kita selagi kita mempunyai iman, maka diampuni kita.  Kasih sayang Allah tiada taranya.

Sayang sekali, kita sering lalai dan leka. Melihat kepada anak-anak di sekolah dengan kepelbagaian tingkah laku dan kesosialan yang melampau menyebabkan hati terdetik....masyaAllah kasihannya mereka. Sangat beruntunglah ibu bapa yang dianugerahkan Allah anak yang soleh dan solehah.  Tapi anak-anak yang sedang aku hadapi ini majoritinya dilanda kebejatan soaial. Sebut sahaja apa yang tidak mereka lakukan...rasanya sebahagian besar melaluinya. Sangat takut dan bimbang melihat aktiviti sosial mereka....

Menjalankan tugas sebagai Penolong Kanan Hem, bukan satu tugas yang mudah. Menghadapi dari sekecil-kecil masalah disiplin sehinggalah sebesar-besar masalah. Adakalanya masalah tercipta akibat keruntuhan institusi keluarga pelajar. Siapa yang harus dipersalahkan? Anak-anak atau ibu bapa?  Ada juga masalah yang dicipta oleh pelajar sendiri sedangkan mereka mempunyai ibu bapa yang sangat baik. Salah siapa? Media, rakan, teknologi atau siapa?  Kehidupan zaman kini menuntun kita untuk berhati-hati dengan semua perkara. Informasi yang baik dan negatif sangat mudah diperolehi.  Petik jari semuanya boleh diakses dan dilihat serta diketahui.

Hmmm...tanggungjawab kita sebagai pendidik, laksanakanlah setakat yang kita mampu. Ikhlas dalam mendidik bukan setakat mengajar. Mendidik tidak boleh secara totalnya dilakukan di dalam kelas semata. Di peringkat sekolah mendidik lebih berkesan jika dilaksanakan secara praktikalnya. Oleh itu, aktiviti-aktiviti kurikulum di luar kelas (biasa disebut kokurikulum) harus dipergiatkan. Pembentukan sahsiah pelajar boleh dilentur, dibentuk dan di situlah satu cara untuk kita merapati pelajar, memahami diri mereka, mengetahui potensi dan bakat mereka serta menggalakkan mereka bersosial dengan cara yang sihat.

Sayangnya di sekolah, adakalanya kita teruja untuk mengejar kecemerlangan sehingga kita memberikan fokus utama kepada kepada kurikulum di dalam kelas dan mengabaikan kurikulum di luar kelas (kokurikulum). Maka hasilnya pelajar yang akan keluar akan menjadi pelajar yang tidak seimbang hidupnya. Emosi, rohani dan jasmaninya sangat kurang. Maka daya tahan dan juangnya juga sangat lemah. Apakah kita mengejar kecemerlangan atau kemenjadian pelajar?

Peranan Hem, bukan setakat menekankan kepada aspek disiplin, tetapi pembinaan insan itu sendiri.  Bagaimana mahu melentur pelajar ini menjadi 'kemenjadian pelajar'. Maka sangat pentinglah kolaborasi dengan aktiviti kokurikulum, bina insan dan kaunseling supaya pelajar sentiasa rapat dengan guru dan mampu membangkitkan perkongsiaan masalah yang boleh menjurus kepada kemenjadian pelajar itu sendiri.  Saya percaya  sekiranya para ustaz dan ustazah melalui unit bina insannya proaktif merangka strategi merapati pelajar yang bermasalah, sentiasa dan tidak meninggalkan mereka (sentiasa melihat dan memantau perlakuan pelajar ini dan pada masa yang sama sering mentarbiah mereka) maka InsyaAllah mereka boleh diselamatkan.  Sayangnya kadang-kadang kita merangka dan melaksana program membina insan, selesai program kita tidak langsung membuat 'follow up' terhadap mereka. Maka bagaimana kita mahu melihat dan mengetahui keberkesanan program kita?  Seolah-olahnya, kita tidak peduli kerana mereka bukan anak kita.  Tapi ingatlah kita bertanggung jawab terhadap mereka kerana kita guru dan itu adalah amanah untuk kita..........

MEMPROMOSIKAN HOME STAYKU....

Terletak di Taman Seri Impian, Jalan Kluang - Kota Tinggi. Lokasinya berhampiran Hospital Kluang yang baru. Jarak ke hospital 5 minit, ke SM Sains Sembrong 5 minit, ke bandar Kluang 10-15 minit dan  ke kawasan rekreasi Gunung Lambak 10 minit.

Kawasan Parking yang luas dan berbumbung, lantai bermozek.
Ruang tamu dilengkapi peralatan seperti sofa L, kabinet tv dan sebuah televisyen.

Mempunyai kemudahan 3 bilik tidur, 2 bilik air, dengan dilengkapi kipas di setiap ruang tamu dan bilik.
Bilik utama mempunyai katil yang selesa,




Bilik kedua mempunyai katil double decker manakala bilik ketiga mempunyai katil bujang.


Ruang dapur mempunyai sebuah meja makan untuk enam orang, kabinet dapur, dapur memasak, pemanas air, periuk nasi, pinggan dan mangkuk serta peti ais.
Harga semalam RM 180.00. Berminat untuk menginap sila hubungi Raja Azman 0197576235

Sabtu, 23 Februari 2013

BAHAN-BAHAN HEM

www.myhemsmti.blogspot.comBAHAN-BAHAN HEM

VISI DAN MISI SEKOLAH



Misi Sekolah

SMK Perantau Damai  berhasrat melahirkan pelajar yang cemerlang, berkualiti, harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan bakat melalui pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu berlandaskan prinsip ketuhanan.


Visi Sekolah

SMK Perantau Damai mahu menjadi sekolah cemerlang daerah Rompin  menjelang 2015

LATAR BELAKANG SMK PERANTAU DAMAI



SMK Perantau Damai terletak di dalam gugusan Perantau Damai yang merangkumi Perkampungan Felda Keratong 8, 9 dan 10 dan merupakan satu-satunya sekolah menengah yang terdapat di gugusan ini. Kewujudannya pada tahun 1993 sebagai sebuah sekolah harian biasa (luar Bandar) amat diperlukan oleh penduduk di sekitarnya seperti Kota Bahagia (20km), Felda Keratong 08 (05km),  Keratong  9 (8 km) dan Keratong  10 (03 km), gugusan  Chanis merangkumi Felda Keratong 6 dan 7 (40km), Felda Bera Selatan (60km). Dengan kapasiti penduduk dari kawasan tersebut, SMK Perantau Damai pada awalnya telah menerima pelajar sekitar 250 ke 300 orang pelajar. Seterusnya menjelang tahun 1996 pihak sekolah terpaksa mewujudkan sistem persekolahan dua sesi iaitu sesi pagi dan petang apabila bilangan pertambahan pelajar menjadi hampir 1500 orang pelajar.  Sekolah ini merupakan sekolah Gred A dan  mengalami pelbagai perubahan baik dari segi landskapnya mahupun dari aspek fizikal. Kini SMK Perantau Damai mempunyai kapasiti guru seramai 59 orang dengan bilangan pelajar seramai 680 orang pelajar.

Dari segi prasarananya ketika awal pembukaannya pada tahun 1993, hanya terdapat lima  buah bangunan yang terdiri daripada 26 buah billik darjah, sebuah pejabat, kantin, perpustakaan, 6 buah makmal Sains, 3 buah bengkel Kemahiran Hidup dan 2 buah bilik Sains Rumah tangga, 18 unit rumah guru dan sebuah padang permainan.

 Peringkat awalnya SMK Perantau Damai  hanya mempunyai seramai 15 orang guru termasuk pengetua di awal pembukaan sekolah. Jumlahnya meningkat kepada 80 orang guru pada tahun 1996. Seiring dengan penambahan jumlah pelajar maka bilangan guru terus ditambah sehingga menjadi  seramai 120 orang dengan jumlah pelajar pada ketika itu hampir 1700 orang pelajar.  Dalam tempoh  tersebut SMK Perantau damai telah dipimpin oleh seramai 07 orang pengetua seperti Jadual 1.0


Jadual 1.0 : Senarai Kepimpinan SMK Perantau Damai
Bil
Nama Pengetua
Tempoh Berkhidmat
Tahun  Mula
Tahun Tamat
1
En. Abdul Wahab Bin Taha
1993
1994
2
Pn.  Hjh Rokiah Binti Mat Yaman
1994
1998
3
Pn. Hjh Hasiah  Binti Wan Ali
1999
2005
4
En. Abd Raub Bin Abdul Hamid
2005
2006
5
En. Idros Bin Othman
2006
Jun 2006
6
En.  Mohamad Rosli Bin Abdul Rahman
Jun 2006
2009
7
Pn. Hjh Nor Adlah Binti
2009
Jun 2010
8
Pn. Hjh Maizun Binti Jaafar
Julai 2010
Sekarang